Apa cer...

"Segala kandungan dilaman blog ini, tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang sudah tiada. Segala tulisan adalah hasil
dari catatan penulis atau salinan dari email rakan-rakan, seandainya terdapat persamaan..kami mohon maaf..
sila beritahu kami melalui teguran membina atau email ke jomconteng@gmail.com..terima kasih"
Terima Kasih semua

Khamis


Ar-Raqqah, Syria

7.45 AM

Cuaca terang. Matahari sudah mulai naik. Bangunan terbakar, simpang siur pesawat Rusia dan rejim Assad di atas langit Ar-Raqqah dan bunyi letupan dari pengebom berani mati Daesh masih tidak beransur. Hanif Mohamed yang merupakan seorang doktor mendukung sahabatnya, Karim Fez dari tingkat 15 bangunan apartment yang ditinggalkan menuju ke lobi bawah. Bajunya lencun dengan darah.

Karim berzikir dalam gelepar sepanjang perjalanan turun yang susah payah itu.

“Rabbi wa ana abduka! Hayat tawila ya karim (Ya Tuhan tolonglah kami, panjangkanlah umur karim!)” Merengkeh Hanif mengendong Karim menuruni tangga dalam cungap yang lelah.
Dua orang doktor medik sudah sedia menanti untuk merawat Karim Fez.

“Sentiasa kenakan penekup hidung, dan topeng oksigen selagi kita tak lepas dari kawasan ini.” Perintah Hanif tegas.

Karim dalam erangan cuba mencabut topeng oksigen, tetapi Hanif menegah. “Jangan sahabat, Rusia
sanggup lepaskan gas sarin dan hidrogen sianida dalam bom mereka di Mosul, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberitahu bahawa Rusia akan lepaskan gas mustard di bandar Raqqah ini!”

“Waspada Karim! Mereka bom kita dengan senjata kimia. Mereka tidak kesah sama ada kita ini rakyat biasa atau pengganas. Bagi mereka, bunuh adalah bunuh!” Doktor Raddoun mewaraskan tegahan Hanif.

“Semua kemudahan perubatan ada pada negara-negara arab lain, tapi satupun tidak menolong kita. Semuanya wahabi! Pentingkan diri sendiri.” Seorang doktor medik lain berleter sambil menggunting baju Karim yang koyak rabak dan membersihkan luka. Darah kering dan basah disapu, luka ditembusi peluru tampak lubangnya.

Hanif menyingsingkan kaki seluar Karim, melihat peluru yang terbenam pada betis sahabatnya itu. Doktor Raddoun menilik luka yang lain di bahu dan lengan. Juga oleh peluru. Pada perut kelihatan satu kesan tikaman yang sangat terbenam, darah masih terbit meski tidak banyak.
Doktor Faisal Nour yang baru tiba berkerut melihat kesan parah dan darah pada Karim. Telan liur.

“Ini kesan serpihan bebola besi tajam yang berada di dalam bom. Letupan IED dari pengganas Daesh agaknya…”

Hanif mengangguk. Karim buka amta kecil, cuba bersuara sesuatu, tetapi tak kedengaran.
Doktor Raddoun mula gusar. “Karim, mesti dirawat betul-betul. Kita tak ada kelengkapan rawatan yang sempurna.”

Karim hela nafas panjang. Allahu Allahu Allahu.

“Jangan bersuara Raddoun. Biar ana cuba…” Hanif memegang luka Karim di perut.
“Tahan sahabat. Tahan… yang lain buat lingkungan.”

Hanif kumat-kamit seketika. Dia koyakkan sehelai kain putih dari beg rawatan kecemasan. Kain itu dicalit dengan air mawar yang dihadiahkan oleh Karim dahulu.

Doktor-doktor medik mengelilingi Karim, membaca zikir dengan suara yang halus. Keadaan sekeliling menjadi sepi. Hanya ada satu suara halus.

“Berperang di jalan Allah itu Jihad, Merawat pesakit itu Jihad, berkerja itu Jihad, malah belajar itu juga merupakan Jihad…”

Sepi ini amat panjang. Sepi paling sepi.

Suara jeritan, letupan bom dan gugur bom di luar tiba-tiba bagai khali. Hanif membaca selawat syifa, selawat tafrijiyah dan berdoa dalam khusyuk, dalam kerdil dan penuh harap. Kain putih yang bercalit air mawar ditekapkan di urat-urat nadi. Tangan, leher dan dada.

Hanif memegang perut Karim. Darah basah terkucur jadi kering mendadak. Dahi Hanif berpeluh. Karim, dadanya berombak turun naik. Mata terpejam rapat. Liang tikaman pada perut sahabatnya itu perlahan-lahan terkatup dan yang tinggal sekadar satu kesan parut meninggalkan garis lurus. Setiap satu luka pada tubuh yang dirobek peluru dituam dengan zikir Hanif.

Allahu Allahu Allahu.

Karim membuka mata, mulutnya ikut kumat-kamit membaca zikir. Doktor-doktor medikjuga membuka mata. Hanif tersenyum puas.

“Alhamdulillah,” ucap Hanif lembut, tetapi melihatkan liuk garis di pada dahi Karim masih jelas, bahkan ian menampakkan huruf-huruf tertentu, dia sempat merasakan dada sendiri semakin mampat, tetapi secara sembunyi diabaikan.

Allahu Allahu Allahu

Gegar lobi bangunan dirasai kembali. Hanif menghidupkan peranti pengesan khas yang disediakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. “Udara sudah bersih. Allah dan tentera malaikat menolong kita, gas mustard yang ditebar nampaknya ditiup angin.”

Topeng oksigen ditanggalkan.

Bunyi tembakan mengganas di luar bangunan berbalas-balasan. Jeritan semangat “Baqiyah” makin kuat diluar.

“Daesh sudah tiba, tentera dajjal semuanya!”

“Faisal Nour dan Raddoun, ambil senjata AK-47 ini, impian enta berdua mungkin berjaya. Syahidlah dijalan Allah. Musnahkanlah fasik-fasik Daesh itu!”
Kedua-duanya beredar bagai cahaya yang laju.
Karim bersuara entah apa.

“Rehat sebentar, Karim. Menjadi apa yang enta lakukan sebentar tadi, masya-Allah. Enta mengumpan mereka. Enta perdayakan tentera dajjal itu.”

Allahu Akhbar!!! Letupan kuat menggegar lobi. Hanif mengheret Karim ke tempat terlindung. Ada kereta kebal menembak.

Pantas Hanif mengeluarkan teropong binokular. Di langit, pesawat musuh berlegaran, tetapi tidak menggugurkan sebarang bom. Misil 9K38 IGLA tidak ternampakkan menembak mereka. Teropong binokular itu dihalakan pula ke jalan raya. Beberapa mujahidin sedang bertempur dengan tentera musuh. Dia acukan binokular ke jalan raya bertentangan, simpang 4 itulah cabang yang akan membolehkan mereka maju ke hospital. Ada satu dua mayat pengganas Daesh dan rejim Assad tergeletak. Kereta yang rongak terbakar, asapnya masih tipis naik ke udara.

Hanif gosok mata. Sukar untuk percaya. Deretan kereta kebal Iraq dan Syria yang dirampas musuh, deretan trak berisi kelengkapan perang berdikit-dikit mara. Kereta kebal paling hadapan mengacukan turet dan melepaskan tembakan ke arah bangunan bertentangan, tempat beberapa mujahidin bersembunyi menembak curi.

Hanif telan liur. Dia berlari ke arah tubuh tentera rejim Assad, bekalan tentera rejim tersebut diambil. Panzerfaust 3 dan senjata raifal semi-automatik SAIGA-30 diambil. Lari semula ke tempat Karim.
Dia melihat Karim yang masih terkujur memegang perut . Dia tahu sahabatnya sudah sembur, tetapi masih memerlukan masa untuk benar-benar pulih.

“Karim, ana ada kerja penting, enta tunggu di sini. Rehat. Peranan enta sebagai mujahidin sudah selesai buat masa ini okey. Janji?” Hanif merenung sahabatnya, mengusap kepala itu dan mengesat dahi yang dibintiki keringat.

Karim senyum. Tidak angguk. Tidak geleng.
Hanif menggalas pelancar roket Panzerfaust 3. Mengisi kebuk dengan bahan peletup anti-kereta kebal. Kebuk pelancar roket dikunci.

Ini akan menggendalakan perjalanan kereta kebal paling hadapan, insya-Allah. Harapannya, tiada penembak curi akan menggagalkannya.

Dia berlari ke hadapan lobi, mencelah di dinding yang penuh kesan taburan peluru dan meriam. Di
jalan raya, masih ada satu dua tembakan kedengaran. Bunyi makin halus.

“Alhamdulillah, Faisal Nour dan Raddoun berjaya. Mereka syahid.”

Hanif hela nafas, membaca al-Fatihah. Dia teropong bangunan hadapan, mujahidin lain yang sudah menawan bangunan bertentangan melambai-lambai kepadanya, meminta tolong.

Hanif berlari laju, mengalas pelancar roket dengan penuh usaha. Terasa berat tetapi dia tidak akan mengalah awal. Dia doktor medik, ini tugasnya, ini Jihadnya.

Mujahidin di bangunan itu seolah-olah membuat isyarat sesuatu, tangan mujahidin itu menunjuk menghala ke simpang 4 yang menghala ke hospital, tempat kereta kebal musuh akan berhimpun. Hanif cuba memahami isyarat mujahidin itu.

Hanif berlari laju tanpa memikirkan apa-apa, tiada masa untuk berfikir. Saat itulah dia terdengar jeritan takbir dari belakang. Hanif menoleh , dia lihat ada roket sedang menuju ke arahnya, menujah tepat dan sedar-sedar dia terbanting bergolekan ditolak seseorang.

Booooom!

Karim, dia rasa Karim yang menolaknya daripada di sasar roket tadi. Di mana Karim? Hanif bangun. Dia lihat kumpulan mujahidin masing-masing keluar dari tempat persembunyian.
Ramai, cukup ramai. Tidak pasti sama ada mereka berundur ataupun mereka mara.

Hanif terbatuk-batuk kecil. Dia rasai tapak tangannya melecet berdarah. Kulit lengan mengelupas . Di dahi ada darah. Dia angkat muka dan nampak roket telah meletup betul-betul di hadapan deretan kereta kebal menyebabkan satu lagi letupan kecil bergemaan.

Dia pasti Karim yang sungguh-sungguh menolaknya supaya jatuh dan tidak menjadi mangsa roket.
Hanif melupakan bahaya penembak curi, dia melepaskan Panzerfaust 3 dari galasan. Dia cuba berlari menuju ke arah deretan kereta kebal yang sudah musnah itu. Dia betul-betul berada di simpang menghala ke hospital Raqqah dan dia berpusing. Melingkar.

Kelilingnya asap, deretan kereta kebal yang dimusnahkan.

Karim!

Trak yang terbakar, jip yang bersepaian, mayat-mayat musuh bergelimpangan. Kemudian matanya mengecam, terlihat jasad sahabatnya yang terbaring di sisi tiang trafik yang patah tidak jauh dari posisi asalnya tadi. Hanif lupa dada yang basah oleh darah. Sahabatnya diterpa.

Dia lihat perut Karim robek. Kaki pemuda itu sudah puntung. Tangan sudah terpancung. Dan mukanya basah dengan darah. Karim menggigil bibirnya, menggeletar dan hanya kedengaran Allah Allah Allah.

Hanif menanggalkan keffiyah merah putihnya. Menangis teresak. “Tahan sahabat, tahan leftenan … Tahan leftenan bandar Ar-Raqqah, ana akan cuba selamatkan enta.”

Karim senyum. Hanif mengesat darah pada muka Karim. Sekali kesat tak terkesan apa-apa. Masih basah dek darah merah.

“Ana akan cuba selamatkan enta.” Hanif mengetap bibir menahan esak.

“Cukuplah sekali enta dah selamatkan ana.” Suara Karim Fez sayup lembut.

Hanif melutut, duduk dan memangku kepala Karim. Pemuda itu senyum . “Jangan menangis. Izinkan ana sahabat… Kekasih sudah mengundang.”

Hanif menggenggam tangan Karim erat dan menciumnya dalam keharuan. Keduanya-duanya bersuara sama seakan serentak, Allahu Allahu Allahu.

Dan Karim menghembus nafasnya yang terakhir. Damai. Bertemu Allah dalam damai. Ini impiannya semenjak sekolah rendah lagi. Syahid.

Pada dahi Karim, liuk dan garis timbul dengan jelas. Kalimah La Ilaha Illallah terang dalam cahaya damai seorang syahid.

-TAMAT-

Ditulis oleh: Muhammad Nabil Hakimi
Wordpress url: https://muhammadnabilhakimiblog.wordpress.com/

0 teguran membina:

Catat Ulasan